Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Feb 23, 2014

Membantu anak buat kerja sekolah.

Gambar Hiasan

Petang..

“Haikal, kerja sekolah dah buat?”
“Kejap lagi lah mama”
“Cepatkan siapkan kerja sekolah tu”
“Haikal letih, Haikal nak rehat sekejap”
“Nanti jangan lupa buat kerja sekolah tu”

Keesokan paginya…

“Mama, Haikal tak mahu pergi sekolah hari ni”
“Kenapa pulak tak mahu pergi sekolah?”
“Kerja sekolah Haikal tak siap”
“Tak siap? Kan mama dah suruh buat dari petang semalam”
“Haikal terlupa. Lagipun Haikal penat sangat semalam. Cikgu mesti marah sebab kerja sekolah tak siap. Haikal takut”
“Salah Haikal lah. Mama suruh buat, Haikal tak dengar cakap mama”

Berlarutanlah bebelan si ibu…

Kadang-kadang kita berperang untuk menyuruh anak menyiapkan kerja sekolah. Puas pujuk secara lembut, masih tak berkesan dan akhirnya suara kita mula bernada tinggi, mengugut dan sebagainya atau lebih teruk lagi memukul dan merotan. 

Pada pendapat saya, tidak perlu sampai merotan untuk menyuruh anak menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh guru. Semakin kita berkeras, semakin anak bencikan kerja sekolah. Justeru, bagaimana untuk menarik minat anak supaya sukakan kerja sekolahnya? Di bawah ini ialah beberapa petua yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak menyiapkan kerja sekolah tanpa perlu bertegang urat.

1. Beri perhatian kepada ritma anak dan membantunya mencari masa yang sesuai untuk memulakan kerja sekolahnya. Sesetengah kanak-kanak mampu melakukan kerja rumah selepas balik dari sekolah, manakala yang lain perlu berehat lebih lama sebelum memulakannya.  Tetapkan jadual untuk membuat kerja sekolah pada masa yang dipersetujui oleh anak dan ibu bapa. Apa sahaja masa yang kita dan anak pilih, jadikannya rutin dan bantulah anak untuk mengikuti jadual tersebut.

2. Ketahui bagaimana tabiat belajar anak. Ibu bapa perlu mencari dan mengetahui cara anak belajar. Sebagai contoh, sesetengah kanak-kanak belajar mengeja perkataan dengan menulis dan ada juga kanak-kanak belajar mengeja perkataan dengan menutup mata mereka dan membayangkan perkataan tersebut. Persekitaran juga penting. Sesetengah kanak-kanak mungkin ingin mendengar muzik yang perlahan ketika membuat kerja sekolah manakala yang lain perlukan persekitaran yang sunyi dan senyap.

3. Membantu anak membuat pelan (jika banyak kerja sekolah yang perlu diselesaikan). Contohnya, setiap mata pelajaran, ada kerja rumah yang diberi oleh guru. Utamakan kerja sekolah yang perlu dihantar segera. Jika suatu mata pelajaran itu mempunyai banyak soalan yang perlu disiapkan dan guru memberi masa (mungkin dua hari) untuk menyiapkannya, maka bantulah anak untuk membahagikan kerja sekolah tersebut, separuh soalan pada hari pertama dan separuh lagi pada hari kedua.

4. Elakkan daripada membuat kerja sekolah untuk anak sebaliknya sentiasa bersedia apabila anak perlukan pertolongan. Kemungkinan anak tidak faham soalan dan memerlukan penerangan, maka ibu bapa hendaklah bersedia untuk membantu. 

5. Elakkan sesuatu yang boleh mengganggu dan mengalih perhatian anak. Tutup TV, komputer dan sebagainya kecuali jika kerja sekolah itu memerlukan anak menggunakan komputer dan ibu bapa perlu memantau penggunaannya.

6. Menyediakan keperluan anak seperti alat tulis, kertas, buku latihan, buku rujukan dan sebagainya. Anak juga perlu rehat (10-15 minit) di antara kerja sekolah yang perlu disiapkan tetapi tentukan pada waktu rehat ini, mereka tidak menonton tv, membuka komputer dan lain-lain gajet. Ibu bapa seeloknya mengajar anak membuat regangan dan latihan pernafasan untuk mereka sentiasa berasa segar dan bertenaga.

7. Sentiasa memberi dorongan dan sokongan kepada anak. Elakkan daripada berleter. Beri pujian terhadap usahanya untuk menyiapkan kerja sekolah pada waktu tertentu.

8. Berbincang dengan guru yang mengajar anak (jika kita rasakan terlalu banyak kerja sekolah yang diberi setiap hari). 



Print Friendly and PDF
Share:
Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com