Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Dec 5, 2013

Elakkan menghukum anak ketika marah


Gambar Hiasan

Biasanya apa yang berlaku ketika kita sedang marah? Jika dalam kes yang ekstrim, ada yang sanggup menghumban bayi hanya kerana bayi menangis dan ada yang sanggup menghempas anak ke dinding hanya kerana anak mengganggu permainan dalam tab. Itu kes-kes yang ekstrim yang pernah berlaku. Saya menganggap ibu atau bapa yang begitu ada masalah dalaman (jiwa) yang perlukan kepada pembersihan atau kaunseling dan sebagainya.


Bagi kita, ibu bapa yang normal, ketika kita sedang marah dan beremosi, yang sering berlaku ialah perkataan yang keluar daripada mulut kita ibarat peluru berpandu. Walaupun kata-kata tidak mencederakan fizikal anak-anak, tetapi harus difikirkan kecederaan emosi mereka. Hukuman melalui kata-kata kesat dan keras sering menghakimi, menyakiti dan selalunya tidak menjadikan mereka lebih baik. Sebagai ibu bapa, berhati-hati untuk tidak memberi hukuman kepada anak-anak ketika kita sedang dilanda kemarahan.


Apa yang berlaku selepas kita tenang dari kemarahan? Kebanyakan kita akan rasa menyesal dan bertambah sedih apabila melihat si kecil kita tertidur bersama kemarahan kita. Kita sedar bahawa kita tidak sepatutnya memarahi mereka tetapi kadang-kadang kenakalan mereka meragut semua kesabaran kita lebih-lebih lagi dalam keadaan kita yang keletihan. Apa yang membimbangkan kita ialah anak-anak akan menjadi seorang yang pendendam dan sukar melupakan  kejadian jika kita sering menggunakan kata-kata yang kesat untuk memarahi mereka. Justeru, apa yang sebaiknya dilakukan ketika kita tidak dapat mengawal kemarahan kita?

1. Jauhkan diri kita daripada anak sehingga kita dapat mengawal emosi. Beristighfar dan segera memilih cara yang tepat untuk menghilangkan rasa marah. Setiap orang mempunyai cara yang berbeza-beza untuk menghilangkan rasa marah seperti mengambil wudhu’, mandi air sejuk, keluar dari rumah untuk mendapatkan angin segar dan sebagainya.

2. Ketika sedang marah, kita sering berkecenderungan memberikan hukuman seberat-beratnya kepada anak-anak tanpa memikirkan kesannya terhadap emosi mereka dan kita sering melupakan bahawa tujuan hukuman itu adalah untuk menyedarkan anak-anak tentang kelakuan buruk yang telah mereka lakukan. Untuk itu, susunlah bentuk hukuman yang mendidik dan tepat dalam konteks kesalahan yang telah diperbuat oleh anak-anak. Sediakan peraturan yang jelas dan difahami oleh anak-anak berserta dengan hukuman jika mereka melanggar peraturan tersebut. Jika peraturan sebegini telah dibuat terlebih awal, maka ia akan mengurangkan risiko untuk kita memberi hukuman yang tidak adil dalam keadaan kita marah.

3. Banyak-banyakkan berdoa kepada Allah supaya kita diberi kesabaran. 


Ibu bapa wajar berpegang kepada perinsip memberi hukuman kepada anak-anak iaitu ‘hukuman yang diberi adalah untuk mendidik mereka bukan menyakiti’

Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Recent Posts

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com