Keluarga Bahagia, Negara Makmur

Jun 22, 2012

Merangsang kepintaran bayi

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

[ke_01.1.jpg]

LATIHAN bergayut memberi perkembangan menyeluruh untuk otot dan daya fokus anak-anak.




SETIAP ibu bapa sememangnya mahu memberikan yang terbaik untuk bayi mereka dengan harapan anak yang lahir menjadi seorang insan yang bijak, sihat dan cemerlang.Dan dengan impian tersebut juga, sejak dalam kandungan lagi, bayi dirangsang dengan bunyi-bunyian seperti bacaan ayat suci al-Quran ataupun alunan muzik. Segala inisiatif yang boleh dimanfaat untuk perkembangan bayi akan diusahakan oleh ibu bapa selagi termampu.




Tidak memadai dengan itu, pada peringkat awal kehamilan lagi, si ibu mula mengambil pelbagai makanan tambahan semata-mata untuk memastikan perkembangan otak bayi ke tahap maksimum. Apabila bayi lahir ke dunia, pelbagai pendedahan pula diberikan termasuklah dengan membeli barangan permainan untuk meneroka kreativiti anak tersebut.




Para pakar pendidikan awal kanak-kanak juga bersetuju bahawa usia enam tahun pertama adalah masa terbaik untuk mereka menerima pelbagai pengetahuan. Justeru tidak hairanlah apabila sebilangan kita pernah mendengar mengenai kanak-kanak berusia enam tahun boleh bertutur lebih daripada lima bahasa. Perkara ini turut diakui oleh, pengasas bersama Institutes for The Achievement of Human Potential (IAHP), Glenn Doman, ketika mengendalikan bengkel Bagaimana untuk Menggandakan Kepintaran Bayi Anda (How to multiply your child intelligents) di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menurut Doman, melambakkan anak-anak dengan ratusan barang permainan bukanlah satu cara yang baik untuk menjadikan mereka pintar.




"Bila ibu bapa memahami tentang perkembangan otak bayi dan menyedari bahawa pembelajaran adalah proses semula jadi dan menyeronokkan, mereka boleh menjadi guru paling baik untuk anak-anak mereka. Apa sahaja yang dilakukan oleh ibu bapa mudah ditiru dan dicontohi anak, jadi ibu bapa perlu tahu setiap bayi yang lahir mempunyai potensi yang besar. Bayi lebih suka belajar daripada melakukan perkara lain. Bayi boleh diajar apa sahaja yang dibawakan kepada mereka dengan cara yang jujur, berdasarkan fakta dan menyeronokkan" kata Doman ketika sesi soal jawab pada bengkel tersebut.




Bengkel tersebut bertujuan untuk mengajar ibu bapa tentang perkembangan otak, pertumbuhan fizikal dan pembangunan anak sejak lahir hingga berusia enam tahun. Ibu bapa turut diberi pendedahan mengenai bagaimana untuk menilai dan memperkayakan perkembangan awal bayi mereka sebaik dilahirkan.




"Melalui teknik pendidikan yang betul ibu bapa sebenarnya bukan saja boleh mengajar sendiri anak mereka membaca atau belajar bahasa asing, malah belajar segala-galanya termasuk matematik dan muzik," katanya yang juga penulis dan penerbit buku bertajuk What to Do About Your Brain-Injured Child.




Buku panduan tersebut menerangkan tentang idea-idea dan teknik yang digunakan oleh IAHP dalam menyamakan kepintaran kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak dengan kanak-kanak normal. Menerusi kajiannya, Doman percaya bahawa disebabkan pembangunan neurologi kanak-kanak yang mengalami kecederaan otak boleh dipercepat, perkara yang sama boleh dilakukan kepada kanak-kanak yang normal.




Glenn Doman Baby Malaysia



Sementara itu, pengasas serta Pengarah Clearwater Group, Jared Lim dan Dian Lee adalah pihak yang bertanggungjawab membawa teknik pendidikan Glenn Doman ke Malaysia. Seperti yang dilakukan oleh ibu bapa lain, pasangan suami isteri ini telah meninjau banyak pusat pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak semata-mata bagi memberi pembelajaran terbaik dan sesuai kepada bayi lelaki mereka.




"Selepas membaca semua tulisan Glenn Doman dan memulakan program untuk anak kami, kami begitu berminat untuk berkongsi pengalaman dengan semua ibu bapa lain di negara ini," jelas Jared yang menubuhkan Glenn Doman (GD) Baby Malaysia Sdn. Bhd, sebagai pengedar tunggal program IAHP di negara ini.




Di bawah Clearwater Group, anak syarikat tersebut merancang menubuhkan pusat pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak di Heritage Village, di The Mines, Selangor. GD Baby Malaysia akan mengambil peranan menggalakkan pembangunan fizikal, intelektual dan sosial di kalangan kanak-kanak. Jared menambah, objektif utama mereka bukan sahaja untuk menggalakkan pembangunan minda di kalangan kanak-kanak tetapi turut mewujudkan sebuah pusat bagi mempelbagaikan pengalaman untuk ibu bapa mendidik anak-anak.




"Pusat pembelajaran dan pembangunan kanak-kanak kami akan menjadi laluan bagi ibu bapa untuk membimbing kanak-kanak mereka untuk mencapai potensi fizikal mereka," tambah beliau.




***Article from my mailing list




Tirana: Saya telah membaca beberapa buah buku yang ditulis oleh Glenn Doman. Idea yang dibawanya sangat baik dan berkesan ke atas anak-anak saya walaupun saya tidak mengikut 100% teori beliau. Saya hanya mengikut apa yang termampu sahaja seperti menggunakan kad imbasan ketika anak-anak saya masih kecil. 

Share:

0 comments:

Post a Comment

Terimakasih atas kesudian anda membaca dan memberi komen di blog ini.

Recent Posts

Blogviews

Copyright © Ibubapa Cemerlang | Powered by Blogger
Design by SimpleWpThemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com